30/04/2026
ππππππ πππππππ ππππ ππ-π πππππππππ ππππππππ πππ πππππππππ
Program Bicara Budiman Siri Ke-4 anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti, Universiti Selangor (UNISEL) telah berlangsung dengan jayanya petang tadi bertempat di Dewan Senat, UNISEL Kampus Bestari Jaya dengan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penghulu, ketua kampung sekitar UNISEL, mahasiswa organisasi pelajar, serta warga Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Fakulti Pembangunan Mahasiswa Budiman (FPMB).
Program ini merupakan satu platform intelektual yang bertujuan membuka ruang perbincangan ilmiah, memperkasa pemikiran kritis serta mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
Inisiatif penganjuran program ini digerakkan dengan sokongan Prof. Madya Dr. Hamdan, yang sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan mahasiswa melalui pendekatan ilmu dan wacana terbuka. Kehadiran Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi, Felo Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) sebagai panel turut memberi nilai tambah melalui perkongsian pandangan yang bernas dan berimpak.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai perspektif yang membuka minda, selari dengan keperluan semasa dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, khususnya dalam aspek pemikiran strategik dan penilaian maklumat.
Penganjuran Bicara Budiman Siri Ke-4 ini juga mencerminkan komitmen UNISEL dalam memperkukuh jaringan komuniti serta melahirkan mahasiswa yang berilmu, berdaya fikir dan berperanan sebagai agen perubahan dalam masyarakat.
Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform berterusan dalam membina ekosistem ilmu yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
30 April 2026