29/04/2026
Jemput baca ya
BENARKAH PERAWAT BOLEH MENGETAHUI PERKARA GHAIB?
* Posting ini ustaz salin dari Darussyiffa Sabah. Jemput baca ya.
Berhati-hatilah dengan kesimp**an perawat Islam yang mengatakan bahawa :
1. Ada jin dalam badan anda;
2. Ada jin mengekori anda;
3. Ada jin bertenggek di leher/pinggang/lutut anda;
4. Anda ada jin saka;
5. Anda terkena sihir, atau
6. Barang anda yang hilang terletak di tempat tertentu,
hanya setelah perawat tersebut:
1. Membaca beberapa ayat Quran atau doa terhadap anda seketika sama ada secara dekat atau jauh atau hanya dengan melihat gambar anda; atau
2. Hanya dengan memegang mana-mana anggota tubuh badan anda.
Ini kerana kesimp**an yang dibuat tadi adalah berdasarkan kaedah yang melanggar hukum Syara’. Mereka yang mengamalkan kaedah-kaedah di atas boleh dikategorikan sebagai al-Kahin dan al-Arraf.
Al-Kahin ialah orang yang memberitahu tentang perkara-perkara ghaib di masa hadapan atau memberitahu apa yang ada di dalam hati. Al-‘Arraf bermaksud orang yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib, atau dalam erti kata lain digelar tukang tilik. Perbuatan ‘Arraf ini dilarang oleh Allah SWT kerana tiada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT sahaja. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran :
“Katakanlah! Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah” (An-Naml : 65)
“Dan di sisiNya jualah kunci-kunci segala yang ghaib; tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja.” (Al-An’am : 59)
“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapa pun melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya.” (Al-Jin : 26-27)
Malah, Nabi Muhammad SAW pun tidak mengetahui perkara ghaib. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran :
“Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku yang mengumpulkan dengan banyaknya benda yag mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan” (Al-A’raaf : 188)
Nabi Muhammad SAW juga pernah terkena sihir namun baginda tidak mengetahuinya. Jibrail AS yang telah memberitahu baginda bahawa baginda telah disihir oleh Labid bin al-A’sam. Jika Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahui perkara-perkara ghaib, (seperti sihir yang berlaku ke atas dirinya) bagaimana p**a seorang manusia biasa boleh mengetahuinya?
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, adalah jelas bahawa dakwaan mengetahui kewujudan jin dalam badan seseorang menggunakan kaedah-kaedah di atas adalah tidak benar. Malah, kita tidak sepatutnya menemui orang-orang yang mengamalkan kaedah-kaedah sebegitu. Menurut riwayat Muslim di dalam sahihnya bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :
من أتى عرافا فسأله عن شيء فصدقه لم تقبل له صلاة اربعين يوما
Maksudnya : Sesiapa yang mendatangi seorang ‘arraf, dan bertanya tentang sesuatu, maka tidak diterima amalannya selama 40 hari.
Abu Daud r.a. meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW :
من أتى كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه و سلم
Maksudnya : Barang siapa yang menemui tukang tenung kemudian membenarkan apa yang dikatakan maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Nabi SAW.
Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Pengertian Tauhid, membenarkan tukang-tukang tenung dan juru-juru ramal yang pada sangkaan mereka dapat mengetahui sesuatu yang ghaib, adalah satu kekotoran terhadap ayat-ayat al-Quran di atas. Sekiranya tindakan mereka yang pergi menemui golongan tesebut dan membenarkan p**a dianggap suatu yang amat keji di dalam agama, tindakan para tukang tenung dan juru ramal itu adalah jauh dari agama dan agama p**a jauh dari mereka :
ليس منا من تطير أو تطيرله او تكهن أو تكهن له او سحر او سحرله : رواه البراز بأسناد جيد
Maksudnya : Bukan dari golongan kami sesiapa yang menganggap sial kerana alamat (tataiyur) atau minta dilihat kesialannya dan menenung atau minta ditenungkan atau mensihir atau minta disihirkan baginya.
Oleh itu, berhati-hatilah bila berjumpa dengan perawat-perawat yang menggunakan kaedah-kaedah di atas. Kadang-kadang, ada perawat yang menggunakan bahasa lunak dan halus untuk melindungi kedustaan mereka agar dapat meyakinkan pendengar. Contohnya : “Nampaknya penyakit encik ini bukan penyakit biasa. Encik terkena sihir. Inilah hasil penyiasatan kita. Sebab yang sebenarnya Allah sahaja yang tahu.”. Ada juga yang berselindung dengan kata-kata yang dapat menggambarkan bahawa apa yang diperkatakannya itu datang daripada Allah dan dia sentiasa berpegang teguh kepada kekuasaan dan kehendak Allah semata-mata. Misalnya: “Nampaknya, ikut penglihatan kita hajat encik ini s**ar tercapai. Banyak sangat halangannya. Ramai orang tidak s**akan encik hidup senang. Tetapi kalau mahu berjaya kita boleh usahakan, insya Allah, akan berjaya juga nanti.”
Ada juga perawat yang berkata bahawa kaedah mereka itu benar kerana ia hasil daripada kasyaf atau terbukanya hijab. Ini adalah tidak benar. Kasyaf memang boleh berlaku kepada orang mukmin yang hampir dengan Allah (wali Allah) tetapi kasyaf yang dikurniakan kepada orang tersebut adalah sebagai satu ujian dan rahsia antara dirinya dengan Allah. Hal ini disebabkan kasyaf merupakan sebahagian daripada karomah yang dikurniakan oleh Allah. Oleh yang demikian, kasyaf perlu dirahsiakan, tidak boleh diceritakan sewenang-wenangnya. Dalam kitab-kitab tasawur terdapat keterangan bahawa karomah mesti disembunyikan kerana ia merupakan satu ujian bagi orang yang menerimanya. Jika diceritakan atau dihebahkan, maka karomah itu akan menjadi hijab kepadanya. Berlainan dengan mukjizat yang berlaku kepada para Rasul adalah untuk ditunjukkan sebagai bukti kebenaran kerasulannya. Oleh itulah wali Allah yang sebenarnya amat takut dan cemas apabila dikurniakan karomah, apatah lagi untuk menghebahkan kekeramatan itu kepada orang ramai kerana takut akan dihijab oleh Allah. Wali Allah yang sebenar tidak begitu mudah menceritakan sesuatu rahsia ghaib yang telah dikurniakan Allah kepadanya, tetapi wali jin atau syaitan adalah sebaliknya, amat mudah menceritakan rahsia-rahsia ghaib seperti itu.
Kesimp**annya, janganlah mempercayai perawat Islam (termasuklah pawang, bomoh atau orang biasa) yang mendakwa boleh mengetahui perkara ghaib.
Sebarkan maklumat ini demi kebaikan semua. Semoga Allah merahmati kita semua.
[Rujukan : 1. “Menjawab Persoalan Makhluk Halus : Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan” oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (2009), m.s. 168-171. 2. “Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada perspektif Islam”, Jahid Sidek (2004), m.s. 82-87. 3. “Pengertian Tauhid”, Dr. Yusuf Al-Qardhawi (1999), m.s. 70-73.]