25/07/2023
Stay alert !
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dan kesal terhadap penyebaran maklumat palsu dan mengelirukan yang tular di media sosial khususnya instagram berkaitan perkhidmatan estetik menerusi pautan https://www.instagram.com/s.one_aesthetic/ dan https://www.soneaesthetic.com/ .
Pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah memanipulasi gambar YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan melalui pengesahan palsu berhubung perkhidmatan yang disediakan oleh s.one_aesthetic tersebut sebagai menyokong perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Menerusi paparan instagram yang disiarkan, dengan jelas perkhidmatan tersebut telah melanggar peraturan yang dikuatkuasakan KKM di bawah Akta 50 (Akta Perubatan 1971) dan Akta 586 (Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998) dengan menawarkan perkhidmatan yang merbahayakan nyawa serta memperdaya pengguna menerusi siaran testimoni penerima perkhidmatan.
Individu bukan pengamal perubatan tanpa LCP tidak mempunyai kompetensi dan tidak layak untuk memberi perkhidmatan-perkhidmatan (seperti: botox, filler, laser, pembedahan plastik seperti kelopak mata, breast enhancement, rhinoplasty, fat transfer, lesung pipit, liposuction dll.).
Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan agar menghentikan sebarang perkongsian maklumat tersebut, berhati- hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran perkhidmatan dan produk yang boleh menarik minat serta emosi dengan menyemak fakta dan maklumat di platform yang dipercayai. Tindakan akan diambil dibawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana telah mengedarkan maklumat palsu yang mengandungi salah faham serta kandungan yang tidak benar dengan tujuan tertentu demi kepentingan keuntungan semata- mata.