24/06/2025
Kursus Refresher Dan Team Building Pasukan COMBI Daerah Larut, Matang Dan Selama Tahun 2025.
Tarikh: 21 Jun 2025 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi hingga 2.00 petang
Tempat: D'village Hotel & Villas, Karai, Kuala Kangsar
Al-hamdulillah. Kursus Refresher Dan Team Building Pasukan COMBI Daerah Larut, Matang Dan Selama Tahun 2025 telah berjaya dilaksanakan di D'village Hotel & Villas, Karai, Kuala Kangsar dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar.
COMBI merupakan singkatan bagi Communication for Behavioral Impact yang bermaksud Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku. COMBI merupakan salah satu strategi untuk menangani masalah penyakit demam denggi di Malaysia melalui pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi untuk mempengaruhi individu, keluarga dan komuniti ke arah perubahan tingkah laku yang sihat.
Terdapat 6 buah lokaliti yang mempunyai Jawatankuasa COMBI yang aktif dalam daerah Larut, Matang dan Selama iaitu Taman Kamunting Bakti, Taman Kamunting Mutiara, Taman Rakyat, Bomba Sukarela Kuala Sepetang, Kampung Menteri Kuala Sepetang dan Kampung Sungai Relong. Pegawai dan anggota kesihatan dari Unit Promosi Kesihatan, Unit Entemologi & Pest serta Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor dari kedua-dua Pejabat Kesihatan Daerah telah berganding bahu bagi menjayakan kursus pada hari tersebut.
YBrs. Dr. Syahrizal Bin Abdul Halim selaku Pegawai Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama turut hadir sebentar menemui peserta dan urusetia kursus di lokasi kursus tersebut dalam perjalanan beliau pulang ke Taiping selepas hadir ke Majlis Perasmian Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia 2025 di Ipoh, Perak bagi memberi sokongan dan sekaligus menunjukkan komitmen yang tinggi oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama terhadap program COMBI ini.
YBrs. Pegawai Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama juga sempat memberi ucapan ringkas dalam kursus ini dengan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada urusetia dan peserta yang terdiri daripada sukarelawan COMBI ini kerana sudi memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program COMBI. Beliau turut menyatakan komitmen beliau dalam membantu untuk menjayakan program ini bagi memastikan objektif penubuhan COMBI dalam daerah ini dapat dicapai.
COMBI PERAK