25/12/2023
Tidak Layak
Baru² ini saya bertanya kepada seorang ustaz di pejabat agama, kenapa ada keluarga miskin tak layak terima zakat, walaupun pendapatan kurang dari paras minima dan ahli keluarga juga ramai.
Jawapannya pelbagai.
Antaranya ialah:
- Tidak mahu bekerja
- Ketagihan dadah
Kedua²nya saya bersetuju bahawa mereka tidak layak menerima zakat. Baru sahaja semalam seorang gadis menggunakan fb untuk memohon bantuan orang awam. Katanya ayah sudah meninggal dunia. Tinggal bersama ibu, kakak dan adik. Hidup susah, makan pun tak cukup. Mohon zakat, tiada jawapan.
Simpati dengan keadaannya.
Namun saya hanya akan bantu jika mereka benar² dalam kesempitan. Jadi saya hubungi gadis ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat.
Bila disoal-selidik, rupanya ramai ahli yang tinggal di rumah itu. Dan 4 dari mereka sudah cukup dewasa untuk bekerja, tetapi hanya seorang yang cari makan. Saya tanya gadis ini, kenapa yang lain tak bekerja, terus senyap tak ada balasan.
Kalau sakit, tak apa. Kita cuba bantu.
Tapi kalau malas, tanggunglah sendiri.
Jika kerana dadah, lagi payah nak cerita.
Mungkin perlu tangkap yang menghisap, hantar ke penjara, kemudian yang ditinggalkan ini bolehlah ditolong serba sedikit.
Nak bantu orang, saya ni kalau boleh biarlah mendatangkan hasil yang positif. Yang tak bersekolah, didaftarkan. Yang tak mampu bekerja, diajar ilmu kemahiran. Tidaklah sentiasa perlu disuapkan makanan.
Macam² jenis cerita kalau duduk di lapangan ni. Yang mengambil kesempatan sama banyak dengan yang betul² layak dibantu. Kena risik banyak pihak dulu termasuklah jiran tetangga, pihak zakat, NGO yang pernah membantu, guru sekolah, dsb.