14/05/2023
Hempedu bumi
Hempedu bumi (Andrographis paniculata) merupakan sejenis tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Ia digunakan sejak berabad yang lalu di China, India dan Jawa sebagai rawatan untuk mengurangkan kesakitan (analgesik) dan merawat sebarang luka termasuk gigitan ular.
Dalam rawatan diabetes, kajian menunjukkan ekstrak methanol dari tumbuhan ini mampu mengurangkan pencernaan dan penyerapan gula ke dalam darah, maka ia membantu untuk mengawal paras gula terutama selepas makan.
Selepas pengambilan selama 30 hari, kajian ke atas tikus makmal mendapati ia membantu meningkatkan kepekaan insulin dan mempercepatkan pemindahan gula dari darah ke dalam sel untuk dijadikan tenaga.
Kini hempedu bumi boleh didapati dalam bentuk kapsul yang dijual di pasaran, namun ada juga yang mengambil air rebusan atau memakan daunnya yang segar. Walaupun begitu, rasanya yang amat pahit menyebabkan ia lebih sesuai diambil dalam bentuk kapsul.
Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan pengambilan hempedu bumi seperti pening, letih dan cirit-birit. Ia juga mempunyai potensi untuk menyebabkan interaksi bersama ubatan moden jika diambil bersama. Sila dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi sebelum anda memulakan sebarang rawatan dengan herba ini.