23/02/2018
''Serius ke pesakit diabetes tak boleh makan yang manis-manis? Ye lah, takutlah tiba-tiba glukosa darah naik mendadak kan? Bahaya tu!''
Sebenarnya, bersederhana adalah lebih afdhal.
Apa Orang Kata Tentang Gula dan Diabetes?
Selama bertahun-tahun, mereka yang mempunyai masalah diabetes telah dilarang untuk mengambil makanan manis yang diperbuat daripada gula ringkas. (Pautan : Eating Too Much Sugar Causes Diabetes?).
Kini, pemahaman para penyelidik tentang terapi pemakanan diabetes telah mula berubah selari dengan pengetahuan tentang indeks glisemik (GI). (rujuk : Diabetes dan Indeks Glisemik).
Indeks glisemik adalah satu ukuran tentang kadar cepat atau lambat metabolisma karbohidrat makanan untuk ditukarkan kepada kepada gula darah dalam tubuh.
Prinsip asas menyatakan bahawa makanan manis akan meningkatkan gula darah dengan cepat berbanding makanan berkanji. Ini memang benar seandainya makanan manis tersebut dimakan secara tunggal.
Namun begitu, jika makanan manis tersebut dimakan bersama-sama makanan seimbang tinggi serat, peningkatan gula darah dapat diperlahan.
Selain serat, ada juga faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi kadar metabolisma gula, contohnya kaedah penyediaan sajian dan juga kandungan lemaknya.
Adalah benar jika dikatakan jenis karbohidrat yang berbeza akan memberi pengaruh yang berbeza terhadap gula darah.
Namun begitu, pakar-pakar memberi pandangan bahawa fokus utama patut diberikan kepada jumlah keseluruhan karbohidrat yang dimakan berbanding jenisnya.
Ini kerana, jumlah karbohidrat yang dimakan mempunyai kesan yang lebih ketara kepada perubahan gula darah.
Oleh itu, saranan tentang pengambilan gula untuk mereka yang mempunyai diabetes telah mula berubah. Ia telah bertukar daripada mengelakkan pengambilan makanan bergula kepada membenarkan pengambilannya.
Kaedah yang digunakan adalah melalui tukar ganti ke dalam sajian karbohidrat sedia ada.
Melalui kaedah ini, penggunaan gula dalam amaun tertentu adalah dibenarkan dan ia tidak memberi kesan buruk kepada aras gula darah.
Walau bagaimanapun, penggunaan gula dalam kuantiti yang berlebihan adalah tidak dibenarkan.
Anda disarankan untuk mengekalkan pelan pemakanan sihat anda di samping meneruskan aktiviti fizikal secukupnya.