12/05/2021
PERUTUSAN AIDILFITRI 1442H/2021
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi Al-hamd.
Sambutan Aidilfitri pada tahun ini sekali lagi akan diraikan dalam keadaan yang berbeza meskipun ada sedikit perubahan yang baik pada tahun ini. Namun perlu kita berwaspada kerana Covid-19 masih lagi mencengkam kehidupan kita semua.
Pentarbiyan Ramadan perlu terus diimarakkan meskipun Syawal telah datang tiba. Segala usaha kebajikan yang dilakukan dalam membantu golongan para asnaf perlu terus disemarakkan demi mencapai kejayaan dalam fungsi Zakat itu sendiri. Tujuan di sebalik pensyariatan zakat adalah untuk mengukir senyuman di wajah-wajah para penerima, kerana Islam melihat bahawa setiap hamba itu, samada yang miskin ataupun yang kaya, berhak untuk bergembira pada 1 Syawal.
Meskipun demikian, jangan kita lupa akan nasib saudara kita di Palestine mahupun dimana mereka berada yang masih bergelut dengan penindasan dan kezaliman. Kita berdoa semoga kemenangan itu akan berpihak kepada yang benar khususnya golongan yang bertaqwa kepadaNya.
Justeru itu marilah kita meraikan Aidilfitri ini secara sederhana dan penuh keinsafan, dan jangan biarkan didikan Ramadan selama sebulan itu luput disaat Aidilfitri.
Di kesempatan ini, saya dan Shairah sekeluarga memohon maaf dengan penuh keikhlasan atas segala kekhilafan. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita, dan semoga diangkat kezaliman dan penderitaan daripada warga yang tertindas di mana sahaja.
Taqabbal Allahu minna wa minkum salih al-a’mal.
Kullu ‘am wa antum bi khayr.
MUHAMMAD ZUHAILI